Dalam usrah,
lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai
cinta fitrah menjadi ftnah. Jangan sampai hilang keberkatan bahtera yang bakal
dibina. Apatah lagi bahtera itu, bahtera dakwah. Penuh dengan tanggungjawab dan
amanah yang besar. Bukan sahaja untuk membina sebuah keluarga bahagia, tetapi
menjadikan keluarga mangkin terus bergerak dalam arena dakwah.
Tatkala
melantunkan ayat kedua dan ketiga surah As-saff:
“Hai orang-orang yang beriman, mengapa
kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?
Amat besar kebencian disisi Allah bahawa
kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
Bertambah sesak
nafasku.bergetar jiwaku dengan ancaman kebencian itu. Apalah erti dunia dan
seisinya andai hidup berteman kebencian Sang Pencipta. Tanpa kasih sayang dan
rahmatNya, pasti saja hidup seakan mati yang belum mati.
Sesalnya, dia
tidak memahami aspirasi diriku. Dia hanya mahu membina baitul muslim.
Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga. Acapkali juga aku
menerangkan hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami.
Senja itu,
munajatku panjang di tikar sejadah. Sengaja kulamakan wiridku. Biasanya aku
mendiplinkan diri, usai maghrib, aku harus berdiri kembali untuk melaksanakan
solat hajat. Aku bermohon agar diri ini tidak tersalah memilih lorong
kehidupan. Tidak mahu tersasar haluan dan tersilap langkah. Jalan ini masih
panjang dan jauh. Apatah lagi dipenuhi duri-duri yang dengan mudah mensasarkan
laluan menuju Firdausi nan indah.
“laki-laki yang
baik itu adalah untuk perempuan-permpuan
yang baik, dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk laki-laki
yang baik. ” Itulah ungkapan ayat Allah yang dilontarkan oleh pengkuliah di
masjid yang kuhadiri waktu itu. Duduk tertunduk aku mendengarnya. Terasa
ketenangan memenuhi sukma. Kepala sedikit ringan dari beban minda dan ralat
jiwa. Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari
lepas memberi isyarat keputusan ini yang terbaik. Ayah dan mak suadah aku
maklumkan semasa kami makan bersama kelmarin.
“Tapi dia tu
kan belajar agama. Takkan nanti dia nak bina keluarga yang langgar syariat.”
Komen ayah kurang senang dengan keputusanku. Mak mengangguk mengiyakan kata-kata
ayah.
“Memang benar
ayah, mak. Zul tak nafikan, dia seorang yang baik. Tetapi Zul mahu yang yang
lebih baik. Zul bukan sekadar nak bina baitul muslim, tetapi zul nak lebih
lagi. Zul nak bina baitul dakwah. InsyaAllah, zul yakin, Allah maha mengetahui.
Soal jodoh, sudah tersurat. Zul Cuma minta ayah dan mak terus doakan Zul
dipermudahkan urusan jodoh. Bertemu dengan seseorang yang benar-benar dapat
bersama dengan Zul mnyelerusuri laluan dakwah ini.” Jawabku jujur. Ayah memberi
sedikit nasihat kepadaku begitu juga dengan mak.
Aku cuba
menggagahkan diri untuk berhubung dengannya melalui perbualan di telefon
bimbitku. Sebelumnya, lebih kerap berutus SMS.“Ana dah buat keputusan, ana tak
boleh teruskan hubungan kita nie. Ana dah berfikir panjang. Bukan sebab enti
tidak baik. Tetapi ana bukan yang terbaik untuk enti. Ana tidak mampu memenuhi
kriteria yang enti impikan. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu melepaskan
ikatan perjuangan yang ana simpul mati dalam diri ana. Ana tidak mahu
mengorbankannya kerana sebuah perkahwinan. Hanya ini yang memisahkan kita.
Sekali lagi ana meminta sejuta kemaafan.” Ringkas penjelasanku. Tapi aku pasti
cukup jelas isinya. Sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya
malam ini, aku nekad dengan keputusanku. Aku yang memberinya kata dua. Talian
sepi seketika. Tiada butir bicara darinya sampai ke corong telingaku. Aku tidak
mahu membayangkan wajahnya.tidah mampu ada apa-apa yang akan merubah
keputusanku lagi.
“Kalau itu
permintaan enta, ana tak boleh kata apa-apa lagi. Ana akur semuanya. Ana terima
ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada. Semoga enti bertemu dengan insan
yang sepadan. Punya aspirasi dan impian yang sama.” Dia akhirnya bersuara.
Nadanya tidak lagi ceria. Berbaur kesal dan kecewa.
“Terima kasih
atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf sangat-sangat.” Aku mengulangi
permohonan maafku. Tidak mahu ada garis luka dijiwanya. Walau aku tahu itu
mustahil.
“Ana pun sama..maaf untuk segalanya.
Assalamualaikum.” Dia menamatkan perbualan..ada getar dihujung suaranya.
Aku terkedu menggengam telefon bimbitku.
Tidak menyangka seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas.
Jauh di sudut hati, aku berdoa jangan ada benci antara aku dengan dia. Apatah
lagi, aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hampir ke gerbang pernikahan
ini. Ada juga terbit rasa bersalah dihatiku, terutama saat mendengar getar
suaranya yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaan. Namun aku sudah tidak
boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil
musyawarah dengan kedua orang tuaku, sahabat-sahabatku yang ku anggap
sebahagian daripada keluarga ku sendiri serta istikharah berulang kali dengan
Sang Pencipta. Tiada ragu lagi.
Aku menarik nafas dalam dan
menghembuskannya perlahan. Syukur Allah memudahkan segalanya. Aku kini bebas
dari resah jiwa dan beban minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah.
Tugas dakwah melebihi masa yang ada. Tiada ruang aku bermain-main dengan waktu
yang berlalu tanpa mungkin diputar ganti.
Sebelum mata terlena malam itu, sempat
aku renung rembULAn dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajahnya. Wajah siapa
yang akan mengisi taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi aku yakin, dia akan hadir disisi. Dia yang
akan menjadi sayap kiri perjuanganku
terbang bersama di medan dakwah ini. Hingga kami hanya berhenti berehat,
setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti..dia ada!
