I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, 22 April 2012

Aku pasti..dia ada!



Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi ftnah. Jangan sampai hilang keberkatan bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu, bahtera dakwah. Penuh dengan tanggungjawab dan amanah yang besar. Bukan sahaja untuk membina sebuah keluarga bahagia, tetapi menjadikan keluarga mangkin terus bergerak dalam arena dakwah.
Tatkala melantunkan ayat kedua dan ketiga surah As-saff:
“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?
Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

Bertambah sesak nafasku.bergetar jiwaku dengan ancaman kebencian itu. Apalah erti dunia dan seisinya andai hidup berteman kebencian Sang Pencipta. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, pasti saja hidup seakan mati yang belum mati.
Sesalnya, dia tidak memahami aspirasi diriku. Dia hanya mahu membina baitul muslim. Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga. Acapkali juga aku menerangkan hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami.
Senja itu, munajatku panjang di tikar sejadah. Sengaja kulamakan wiridku. Biasanya aku mendiplinkan diri, usai maghrib, aku harus berdiri kembali untuk melaksanakan solat hajat. Aku bermohon agar diri ini tidak tersalah memilih lorong kehidupan. Tidak mahu tersasar haluan dan tersilap langkah. Jalan ini masih panjang dan jauh. Apatah lagi dipenuhi duri-duri yang dengan mudah mensasarkan laluan menuju Firdausi nan indah.
“laki-laki yang baik itu adalah untuk perempuan-permpuan  yang baik, dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk laki-laki yang baik. ” Itulah ungkapan ayat Allah yang dilontarkan oleh pengkuliah di masjid yang kuhadiri waktu itu. Duduk tertunduk aku mendengarnya. Terasa ketenangan memenuhi sukma. Kepala sedikit ringan dari beban minda dan ralat jiwa. Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari lepas memberi isyarat keputusan ini yang terbaik. Ayah dan mak suadah aku maklumkan semasa kami makan bersama kelmarin.

“Tapi dia tu kan belajar agama. Takkan nanti dia nak bina keluarga yang langgar syariat.” Komen ayah kurang senang dengan keputusanku. Mak mengangguk mengiyakan kata-kata ayah.
“Memang benar ayah, mak. Zul tak nafikan, dia seorang yang baik. Tetapi Zul mahu yang yang lebih baik. Zul bukan sekadar nak bina baitul muslim, tetapi zul nak lebih lagi. Zul nak bina baitul dakwah. InsyaAllah, zul yakin, Allah maha mengetahui. Soal jodoh, sudah tersurat. Zul Cuma minta ayah dan mak terus doakan Zul dipermudahkan urusan jodoh. Bertemu dengan seseorang yang benar-benar dapat bersama dengan Zul mnyelerusuri laluan dakwah ini.” Jawabku jujur. Ayah memberi sedikit nasihat kepadaku begitu juga dengan mak.
Aku cuba menggagahkan diri untuk berhubung dengannya melalui perbualan di telefon bimbitku. Sebelumnya, lebih kerap berutus SMS.“Ana dah buat keputusan, ana tak boleh teruskan hubungan kita nie. Ana dah berfikir panjang. Bukan sebab enti tidak baik. Tetapi ana bukan yang terbaik untuk enti. Ana tidak mampu memenuhi kriteria yang enti impikan. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu melepaskan ikatan perjuangan yang ana simpul mati dalam diri ana. Ana tidak mahu mengorbankannya kerana sebuah perkahwinan. Hanya ini yang memisahkan kita. Sekali lagi ana meminta sejuta kemaafan.” Ringkas penjelasanku. Tapi aku pasti cukup jelas isinya. Sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya malam ini, aku nekad dengan keputusanku. Aku yang memberinya kata dua. Talian sepi seketika. Tiada butir bicara darinya sampai ke corong telingaku. Aku tidak mahu membayangkan wajahnya.tidah mampu ada apa-apa yang akan merubah keputusanku lagi.
“Kalau itu permintaan enta, ana tak boleh kata apa-apa lagi. Ana akur semuanya. Ana terima ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada. Semoga enti bertemu dengan insan yang sepadan. Punya aspirasi dan impian yang sama.” Dia akhirnya bersuara. Nadanya tidak lagi ceria. Berbaur kesal dan kecewa.
“Terima kasih atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf sangat-sangat.” Aku mengulangi permohonan maafku. Tidak mahu ada garis luka dijiwanya. Walau aku tahu itu mustahil.
“Ana pun sama..maaf untuk segalanya. Assalamualaikum.” Dia menamatkan perbualan..ada getar dihujung suaranya.

Aku terkedu menggengam telefon bimbitku. Tidak menyangka seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas. Jauh di sudut hati, aku berdoa jangan ada benci antara aku dengan dia. Apatah lagi, aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hampir ke gerbang pernikahan ini. Ada juga terbit rasa bersalah dihatiku, terutama saat mendengar getar suaranya yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaan. Namun aku sudah tidak boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil musyawarah dengan kedua orang tuaku, sahabat-sahabatku yang ku anggap sebahagian daripada keluarga ku sendiri serta istikharah berulang kali dengan Sang Pencipta. Tiada ragu lagi.

Aku menarik nafas dalam dan menghembuskannya perlahan. Syukur Allah memudahkan segalanya. Aku kini bebas dari resah jiwa dan beban minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah. Tugas dakwah melebihi masa yang ada. Tiada ruang aku bermain-main dengan waktu yang berlalu tanpa mungkin diputar ganti.

Sebelum mata terlena malam itu, sempat aku renung rembULAn dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajahnya. Wajah siapa yang akan mengisi taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi  aku yakin, dia akan hadir disisi. Dia yang akan menjadi sayap kiri perjuanganku  terbang bersama di medan dakwah ini. Hingga kami hanya berhenti berehat, setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti..dia ada!